Badal Haji:
Bagi mereka yang ingin melaksanakan upah haji kepada kaum keluarga atau sahabat handai yang telah pergi ke rahmatullah dan ingin tahu akan kelebihan serta dalil pensyariatannya saya nukilkan dibawah beberapa hadis sebagai tatapan kita bersama supaya anda lebih kuat untuk menghadiahkan upah haji tersebut kepada mereka yang telah pergi.
-
Abdullah bin Abbas meriwayatkan bahawa seorang wanita dari Khas`am datang menemui Nabi s.a.w. dan berkata: “Wahai Rasulullah! Di antara amalan-amalan yang difardukan oleh Allah ke atas hamba-Nya ialah haji yang dikenakan ke atas bapa saya yang sudah tua dan tidak mampu menaiki kenderaan untuk melakukannya, bolehkah saya berhaji untuknya?” Jawab Rasulullah s.a.w.: ”Ya!” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
-
Ibnu Abbas juga meriwayatkan bahawa wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu berkata: “Ibu saya bernazar untuk mengerjakan haji dan dia tidak mengerjakaannya sehingga meninggal dunia, bolehkah saya berhaji untuknya?” Jawab Baginda: ”Ya! Tunaikanlah haji untuknya. Pada pendapat kamu andainya ibu kamu mempunyai hutang, bukankah kamu yang melangsaikannya? Tunaikanlah hak Allah yang wajib atas kamu kerana hutang kepada Allah itu lebih wajar ditunaikan.” (Riwayat Bukhari).
-
Ibnu Abbas juga meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa saudara atau kerabat seorang yang bernama Syubrumah bertanya kepada Nabi s.a.w. bagi menunaikan haji untuknya, lantas Nabi s.a.w. bertanya: “Adakah kamu sudah menunaikan haji untuk dirimu sendiri?” Jawabnya: ”Tidak!” Sabda Baginda: ”Tunaikanlah untuk dirimu, kemudian tunaikanlah untuk Syubrumah.” (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban.
-
Imam Ahmad dan Nasai telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Zubair katanya: “Telah datang seorang lelaki dari Khas`am kepada Nabi s.a.w. dan berkata: “Bapa saya telah memeluk Islam, sedangkan usianya sudah lanjut dan tidak berupaya menaiki kenderaan sedangkan haji wajib ke atasnya, adakah boleh saya menunaikan haji untuknya?” Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Apakah kamu anaknya yang paling tua?” Jawabnya: ”Ya!” Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Tunaikanlah haji untuknya.” (Riwayat Ahmad dan Nasai).
-
Hadis-hadis ini jelas menunjukkan keharusannya, malah wajib ditunaikan ibadah haji bagi sesiapa yang meninggal dunia, sakit yang tiada harapan sembuh atau tersangat lemah atau seumpamanya, jika ia telah memenuhi syarat-syarat wajib haji yang telah disebut. Andainya si anak atau waris tidak mampu untuk melakukan haji kepada mereka maka bolehlah diberi upah kepada mereka yang boleh untuk menguruskannya.